Wednesday, May 26, 2010

cita-citaku...bilakah?

Melihat sambutan yang cukup hangat suatu pagi di dataran merdeka menimbulkan suatu impian dalam hati. Program senam 1 Malaysia. Aku terfikir dan membuat kesimpulan bahawa jika ada duit dan ada pengaruh, segala yang dicitakan oleh selera dada maka akan tercapai. Samada kesimpulanku itu melulu atau meluru keluar dari benakku benar atau tidak, tetapi itulah realiti yang sepasang mataku melihat...

Warga kota metropolitan keluar beramai-ramai dengan t-shirt sponsor dari kementerian, pakcik makcik, adik,abang,kakak,tua,muda....semua bersenam dengan senaman jenama baru negara. Dengan kehadiran wartawan yang dialu-alukan dan dengan lensa kamera mereka yang tidak putus-putus membuat liputan mempopularkan senaman yang baru 'lahir' itu.
Fikiranku membayangkan alangkah indahnya jika semua warga ini turut menaikkan warisan budaya Melayu ini (Senaman Tua) sebagaimana mereka lakukan hari ini. Terutama 'orang-orang tua yang bersenam dibaris hadapan' sekali itu, kerana dengan selera mereka lah senaman jenama baru ini 'nampak' berjaya.

Pelbagai usaha oleh insan kerdil seperti Azlan Ghanie dan pembantunya 'menayangkan' kepada 'orang-orang tua diatas' akan betapa berharganya Senaman Tua sebagai satu komponen peradaban Melayu. Tetapi Senaman Tua tidak bernasib baik seperti yang diimport kerana ia dipandang murah oleh bangsa sendiri. Atau mungkin ia bersifat tempatan.

Masih aku terbayang diruang mata dan kedengaran ditelinga kisah aku mengikuti Pengasas Senaman Tua (Guru Azlan) memberi penerangan, itupun diatas undangan beberapa peminat agar hadirin 'membuka mata' kepada ilmu ini.
Apabila disebut Tua dihujung senaman, kedengaran suara hadirin sprti "dah tua sangat ke kita ni?" "sape yang tua duduk sini,kami nak balik" "siapa ikut, confirm mengaku tua" "apa?senaman tua? hahahaha" jelas sekali kedengaran di telinga aku kerana aku berada dikalangan hadirin bersama beberapa rakan sementara Azlan Ghanie dipentas menyampaikan penerangan. Kalau ikutkan hati nak saja libas dengan rotan selengan yang kami bawa...Kenapa hati aku panas waktu itu?? ini kerana bezanya kami menilai harga ilmu ini manakala mereka tidak mahu ambil tahu.



Aku sudah lihat Tai Chi, Aerobik, Senaman 1Malaysia, Senam Seni Malaysia dibuat beramai-ramai ditempat awam kerana  semua itu telah mendapat tempat dihati penduduk Malaysia. Mahu juga aku melihat anak-anak Melayu setiap hujung minggu mungkin berpakaian serba hitam bersenam bersama pemimpin Melayu di Dataran Merdeka atau Dataran Putra di Putrajaya. Jika pelancong asing bertanya apakah yang mereka lakukan? nescaya akulah orang yang akan penuh bangga mengatakan "itulah senaman warisan Melayu kami zaman-berzaman,itulah Senaman Tua"...

 Apakah suatu hari nanti kita juga boleh bersenam sambil  menghayunkan pedang Melayu atau senjata Melayu  ditempat terbuka begini??

Ringkasnya apa yang tersimpan dalam hati aku ialah suatu hari nanti jika orang menyebut nama Senaman Tua maka akan ada orang  menyahut "ooo Senaman Tua" dan bukannya "Senaman Tua? apa tu?"...
ataupun jika ada pergerakannya dilihat samada di TV atau ditempat awam, maka yang melihatnya tidak akan mengatakan itu sesi Tai Chi atau Aerobik atau lain-lain...tapi mereka kenal dan berkata "itulah Senaman Tua"....
Tapi bilakah waktu itu??
hanya Dia Yang Maha Mengetahui.........

Friday, May 21, 2010

Hanya pengalaman yang bercerita....

Menatap 2 biji pil ditangan dengan berkata-kata di lubuk hati "bilakah akan berakhir?"...jawapan yang dijawab oleh hati "Insyaallah, jika izinNya akan tiba nanti"...
pil-pil itu bagai 'perisai harian' bagi paru-paru saya suatu masa dahulu kerana diuji oleh Allah sejak berumur 12 tahun lagi mengalami penyakit asma atau lelah. Hujan, cuaca sejuk dan makanan bersifat sejuk adalah perkara yang ditakuti sepanjang itu. Tambahan lagi  ada hidung yang kerap 'cair' tanpa sebab. Alhamdulillah semua itu berakhir semasa berumur 22 tahun.

Detiknya bermula apabila bertemu dengan pengasas Senaman Tua, Guru Azlan Ghanie untuk mempelajari ilmu senaman Melayu ini. Waktu itu ST mungkin tidak semasyhur hari ini. Tidak sampai 5 orang belajar dikelas waktu itu. Mula-mula jumpa Azlan, antara kata-kata yg masih ingat "awak ni orang muda tapi jalan macam orang tua" maksudnya saya mengerti sangat kerana saya sedar bila berjalan badan agak bongkok. Tak tau puncanya.
Bermula diajar petua Nafas Melayu,  kelas bertempat di Gym Why Fit, Bandar Baru Damansara itu menjadi titik tolak saya menyelami dunia Senaman Melayu ini.

Memang pengalaman yang tidak dilupakan sepanjang hayat apabila sebulan menjalani kelas ST, pada suatu pagi bangun dari tidur...saya dapati urat-urat seluruh tubuh bagai di gam, tegang pun ada sampai solat terpaksa duduk. Seminggu lebih berkeadaan begitu nak start motorpun tak mampu. Demam urat.
Bermula pagi itulah saya terlupa bahawa tidak ingat nak menelan pil-pil harian kerana fokus kepada sakit urat yang dialami....walaubagaimanapun, diri tetap takut dengan 'benda-benda sejuk' tersebut.

Demam urat yang saya alami ini bukan kerana silap ST/guru tetapi silap sendiri. Waktu itu, guru Azlan melakukan ST agak ekstreme seperti kiraan 100 pada satu-satu gerakan.Walaupun saya dipesan supaya buat mengikut kemampuan diri dan jangan ikut orang lama...biasalah, darah muda nak mencuba jugak. Hasilnya badanpun menerima kejutan.

Masih segar diingatan, bulan ketiga 'meminggirkan' ubat harian...saya ke kelas ST 2 kali seminggu seperti biasa pada jam 8 malam. Langit nampak mendung semacam nak hujan,tetapi di'desak' semangat untuk ke kelas lebih kuat daripada takut hujan, namun tetap membawa bekal baju hujan dalam kotak motor. Selesai kelas lebih kurang pukul 11:30 malam,hujan turun lebat sekali.

" Kalau nak tunggu hujan stop, lambat lagi ni...pakai je baju hujan tu,baca doa dan ambil Nafas Melayu sepanjang jalan"
Kata-kata guru Azlan ini menjadikan saya  tekad meredah hujan lebat dengan angin malam yang sejuk walaupun dalam kotak fikiran berlegar perkara lama, esok takkan ke bilik kuliah, makan ubat, tidur sepanjang hari dan berselimut tebal.Pernah beberapa kali kena situasi ini (tak dpt elak),sampai rumah badan terus 'kecut' dan menggigil.
Namun dengan izin Allah, syukur sebanyak-banyaknya....sampai dirumah badan saya basah dengan peluh dan kepanasan kerana sepanjang jalan walau hujan tidak berhenti saya juga tidak berhenti dengan Nafas Melayu. Alhamdulillah keesokannya saya bangun dengan ceria ke bilik kuliah tidak seperti sebelum-sebelum ini.

Hanya itu yang direkodkan secara jelas dalam minda saya. Resdung yang dialami sekian lama, tidak dapat dipastikan mengambil masa berapa lama untuk sembuh dengan mengamalkan ST. Tau-tau saja bila makan makanan laut, tiada alahan...dan fenomena mingguan 'hidung cair' tidak lagi berlaku dengan serius dan kerap.


Bagi saya ia bukan soal Senaman Tua atau apa jenis senaman/ubat, tetapi saya berpendapat kesembuhan itu datang dari izin Allah dengan asbab keserasian penawar dengan penyakit dan istiqamah berusaha.

Banyak lagi perubahan diri yang dialami oleh diri saya sendiri samada dahulu ataupun terkini,namun ini sahaja yang boleh dikongsikan...ada masa kita sambung pengalaman ditanya oleh doktor berkali-kali samada merokok atau tidak apabila melihat filem x-ray dada semasa membuat pemeriksaan perubatan untuk perlantikan jawatan.

wallahu a'lam...

Friday, May 14, 2010

Nafas Melayu......Semangat yang Bangkit

Pertama kali belajar pertama kali dengar nama Nafas Melayu mempunyai makna yang cukup dalam....bagi penulis, Nafas Melayu merupakan tunjang semua pergerakan Senaman Tua. Cara tarikan nafas yang diilhamkan melalui pengamatan orang dulu-dulu sebagai satu bentuk senaman yang istimewa. Banyak kebaikan yang diperolehi. Hanya yang merasai sendiri dapat menceritakan 'manisnya'.
Kaedah sedutan & hembusan nafas memang ada pada semua jenis senaman yang kita tahu seperti Tai Chi, Qi Gong, Yoga, Aerobik dsbgnya. Masing-masing punyai kelebihan tersendiri.Maka tidak terkecuali ST dengan caranya.
Umum mengetahui manusia bernafas, tetapi bernafas tidak sama kebaikannya dari 'mengambil' nafas. Mengambil nafas ialah keadaan kita menyedut udara banyak-banyak lalu menghembuskannya (samada perlahan atau laju).


Nafas Melayu mempunyai beberapa teknik dan pecahan yang membawa kebaikan kepada kesihatan. Penulis percaya (drpd pembacaan) dengan mengambil nafas secara konsisten setiap hari boleh merawat banyak penyakit seperti asma, darah tinggi dan stress. Senaman Tua mengajar pengamalnya bersenam agar badan menjadi tegap dan petuanya terletak pada Nafas Melayu.
Tidak dapat diberitahu disini bagaimana cara mengambil Nafas Melayu dibimbangi tersalah kaedah akan mendatangkan mudarat pada badan.


 adalah dipercayai sejarah/asal-usul petua pernafasan cara Melayu ini (Nafas Melayu) lahir daripada ketakutan yang semulajadi terbit dalam diri manusia.

Pengasas Senaman Tua, Guru Azlan Ghanie diajarkan petua pernafasan cara Melayu ini dari ayahandanya Allahyarham Abdul Ghanie Abu Bakar yang berketurunan Merpati Jepang ( keturunan Raja Melayu Sarawak). Guru Azlan semasa zaman kecilnya sering sakit dan lemah badan kerana lahir tidak cukup bulan, namun beliau 'bangkit' dengan petua ini lalu mencuba apa sahaja orang yang sihat lakukan...hasilnya tiada yang mustahil.Itulah 'semangat yang bangkit' dinamakan Nafas Melayu.

 Senaman Tua tanpa Nafas Melayu yang tepat, umpama makan nasi dengan cara ambil bau sahaja :D

Hasil dari Senaman yang bersulamkan Nafas Melayu, Senaman Tua menerima banyak maklumbalas positif terutama bagi pengamal yang mempunyai masalah pernafasan sprt asma (lelah) dan resdung. Bergurulah untuk dapat rasanya!

Saturday, May 1, 2010

Mulanya dari kaki.....


Senaman Tua seperti senaman tradisi lain seperti yoga,tai chi dsbg mempunyai tradisi disiplin sendiri dalam setiap gerakannya. Disiplin bagi senaman tua ialah petua. Pernah seorang guru tua berkata "peganglah kamu kepada petua, kerana untuk hidupnya satu petua, ia telah melalui beberapa keturunan"...maksudnya ialah petua bukan terhasil dalam setahun dua kerana ia adalah pengalaman sakit dan senang orang tua lalu kesimpulannya dipetuakan.


Senaman Tua menyampaikan tradisi adab dan adatnya iaitu hendaklah memulakan senaman bermula dari kaki.

maksudnya panaskan anggota dibahagian kaki dan seterusnya ke atas dan keatas. Adab ini bukan sahaja dimestikan dalam senaman bahkan semasa mandi. Orang tua-tua memberi peringatan jika mandi siram dahulu tapak kaki seterusnya keatas dan keatas. 

Allah Maha Tahu tentang ciptaaNya. penulis pernah melihat datuk selalu melibas betis dengan kain basahan yang telah diperah selepas mandi. Bila ditanya kenapa atuk buat begitu, jawapannya jangan bagi kaki jadi malas. Termenung sekejap budak berumur belasan tahun mendengar alasan orang tua itu. Mungkin itu alasan untuk budak-budak. Tapi bila kita sendiri buat, ia ada 'rasa'...libasan dengan kain pada betis itu mungkin untuk memberi 'sedar berterusan' kepada saraf disitu kerana 'sejuk' kena air selepas mandi....

Tidak dapat penulis huraikan dari segi sains anatomi tubuh manusia tentang petua orang tua-tua ini kerana penulis bukan dibidang itu. Namun mereka (orang tua-tua) berkeyakinan bahawa ia berkait rapat dengan kesihatan saraf kita.

Pernah juga penulis terbaca satu artikel kesihatan yg mana kebanyakan anatomist menyatakan bahawa betis merupakan jantung kedua bagi manusia. Otot soleus yang ada pada betis berkait rapat dengan saraf ke jantung.Mengikut kajian,bagi orang yang bermasalah pada otot betis ini juga terdedah kepada stress dan apabila diminta melakukan senaman berkaitan betis dan kaki, stress dapat dikurangkan dengan cepat.



Senaman Tapak Sembilan dan Jengket adalah diantara senaman dalam ST yang memberi 'panas' pada anggota kaki dan betis.Amalkan!