Tuesday, October 4, 2011

Video terbaru Senaman Tua - online


ia cumalah sebagai pembuka hidangan (asas)....dan nampak mudah...tetapi pastikan ada jurulatih bertauliah memberi panduan untuk keselamatan amalan...terutama Nafas Melayu...cuba lakukan secara sederhana terlebih dahulu...video latihan di atas dipersembahkan oleh Guru Azlan Ghanie -pengasas Senaman Tua.

Lihat, ambil rasa dan bandingkan  senaman Melayu lama ini dengan senaman-senaman lain...masing-masing punya kelebihan....namun saya tetap bangga mengamalkannya setiap hari :D

Sunday, July 3, 2011

Senaman Tua...ia adalah asal dan asli

Pernah juga  ada 'orang' tersilap mengumpamakan Senaman Tua (ST) sebagai senaman baru..mungkin orang yg berkata itu belum kenal ST sepenuhnya.Mungkin betul juga ia baru didengari ditelinga dan baru dilihat oleh mata sesetengah orang, tetapi sejarah ST tidak baru. Nama 'Tua'...jadi ia bersifat tua usia dan pengalamannya..

Tidak boleh juga dipanggil ST sebagai produk Malaysia kerana ST adalah 'produk' Melayu tulen.ST selain memberi nilai senaman dan kesihatan, ia juga turut menonjolkan resam Melayu dan pasti sekali tidak ada resam 1Malaysia di dalamnya :D..

Jika ia terlihat beberapa geraknya seperti  yoga, tai chi, aerobik dan sebagainya...mungkin ianya sebagai kebetulan yang nampak sama, namun jika dihalusi seni dan petuanya ia jelas berlainan dan istimewa!



Bulan ini dipaparkan senaman satu set Siku Temu Lutut (sudut berdiri)...ianya agak ekstreme bagi pengamal yang baru atau orang yang kurang aktif. Lakukan sederhana perlahan dalam kiraan 3-5 set sebagai permulaan. Mulakan dan akhirinya dengan Nafas Melayu. Rujuk guru/jurulatih untuk dapatkan 'petua' nya.

Saturday, May 21, 2011

Senaman Tua...bantu memulihkan kecederaan

Tajuk yang ditulis ni bukan bermakna pengamal senaman Tua (ST) tidak memerlukan doktor atau rawatan hospital apabila sakit. Ia cuma memberi sedikit kelebihan yang ada pada ST yang telah dibuktikan dengan banyak maklumbalas positif pengamal (dalam dan luar negara) yang telah pulih dari kecederaan hasil dari ST yang berterusan.

Ada pengamal dari luar negara merasai pemulihan daripada kecederaan yang bertahun-tahun di pangkal bahu (akibat latihan lasak beladiri) dengan satu sesi ST sahaja...setiap gerakan / senaman dalam ST, ada peminatnya...ada seorang sahabat ST mengatakan suka dengan senaman Naga Berlabuh kerana dia merasakan kekuatan dipinggang, lutut dan bukulali.

Senaman Tua yang dipaparkan di atas ini adalah salah satu daripada koleksi yang membantu individu yang terseliuh pinggang, urat belikat,bahu dan tengkuk...
kadar pemulihan sebenarnya bergantung kepada ketepatan melakukannya dan juga bergantung kepada fizikal seseorang. Kadang-kadang kecederaan pulih semudah 1-2-3 dan adakala kes yang mengambil masa untuk pulih.
Secara mudah kaedah Melayunya penulis bandingkan, jika sakit/lenguh pinggang-kita jumpa pakar urut + RM++...atau jika sakit/lenguh pinggang belikat - kita buat ST + kesungguhan diri.

* kaedah ST diatas perlukan bimbingan jurulatih yang bertauliah dan mahir...Gambar diatas hanyalah 'kulit' kepada senaman sebenar. Dinasihatkan berguru di kelas-kelas ST untuk mendapatkan PETUAnya.


---- Laman ini akan di update kan sebulan sekali insyaallah dengan grafik/gambar Senaman Tua---

Wednesday, January 12, 2011

Senaman Tua....masih belum panas dalam negara sendiri

Melihat kesungguhan beberapa peminat yang datang dari Eropah untuk mempelajari Senaman Tua (ST), mengambil sendiri ilmu ini dari tangan pengasas membuatkan hati 'tercuit'....

Beza orang putih dengan orang kita belajar dapat kita perhatikan. Mereka kalau belajar, bukan sekadar ikut tapi mereka ingin faham kalau boleh hingga ke akar sesuatu ilmu. Apabila faham, mereka mencuba rasa ST sendiri untuk lebih faham....kesimpulannya mereka bersungguh-sungguh.


Kenapa??kerana mereka 'tidak memiliki' seumpama ST ini dalam erti kata sebagai hak milik  pusaka yang berharga walaupun bangsa Eropah kita tahu berjaya mencipta tamadun teknologi yang tinggi.
Mereka meminta izin dari Guru Azlan (pengasas) untuk mengembangkan ilmu Melayu ini di negara mereka. Keizinan Guru Azlan bukanlah 'membuka' rahsia ilmu Melayu kepada dunia/bangsa luar, tetapi mungkin ingin melihat bagaimana sambutan di luar negara  terhadap ST.

 Ini kerana nama ST di negara sendiri dan dimata bangsa sendiri masih 'belum cukup panas' seperti produk import seperi Yoga, Tai Chi, Aerobik......












- gambar atas :
ringkasan senaman Tari Inang yang dibawa bersama senaman Tapak Lima. Lakukan ia 4 penjuru -
rujuk jurulatih Senaman Tua untuk mendapat 'rasa' dan gerak yang sebenar.

Tuesday, November 2, 2010

Tari silat Melayu - Kesepaduan Ilmu Perang Dengan Senaman

Silat Melayu....dikenali gerakannya kerana ada 'gaya' yang tersendiri. Hari ini penulis jumpa mat saleh dari Jerman menyatakan dia boleh kenal silat melalui tari, yang membezakan dengan beladiri lain.Ya, tari dalam ilmu persilatan boleh dikatakan ia sinonim ibarat pokok dan buahnya. Apabila seorang pesilat mula mengamalkan tari silat, dia dikatakan sedang BERtari bukannya MEnari...itu yang penulis dapat istilahnya dari beberapa guru.

Dalam konteks Senaman Tua, tari silat Melayu tidak dapat dipisahkan...penulis anggap semua tari silat Melayu walau berbeza guru atau nama, ia tetap mempunyai 'tenaga' untuk menjana kesihatan jika mengamalkannya...Senaman Tua turut memanjangkan PETUA yang ada didalam senaman-senamannya kepada tari silat dari Silat Melayu Keris Lok 9 sebagai kesinambungan PETUA dalam Senaman Tua.

Tari Silat Melayu menghidupkan semua gerak untuk beladiri dan 
secara langsung memberi 'tenaga' kepada otot dan sendi.

Jika dilihat dan diperhatikan tari silat Melayu menggerakkan otot-otot dan sendi-sendi seluruh tubuh...sekarang orang bersenam juga ada gaya menari bukan? Baru-baru ini dilancarkan senaman tarian 1 Malaysia. Objektifnya mungkin ada persamaan dengan tari silat iaitu untuk seronok dalam bersenam.
Akan tetapi senaman Tua dengan gaya tari silat Melayu, jauh dari itu konsep dan matlamatnya..selain untuk kesihatan, ia juga secara langsung sebagai latihan kepada beladiri (silat).

Tari silat juga mempunyai 'cerita' falsafah silat/kehidupan dalam setiap gerakannya.

Jika ada yang berkata bertari dalam silat Melayu memerlukan stamina walaupun nampak lembut, maka kenyataan itu tepat...maka tak hairanlah penulis pernah melihat ada anak muda yang termengah-mengah apabila selesai melakukan satu set tari silat, masuk set yang kedua otot paha dan lutut sudah bergegar.Yang orang lama tersenyum melihat (otai la katakan :D)



setiap beladiri mempunyai 'tari' masing-masing.kita kenal gaya Kung Fu atau Tai Chi.Kita kenal gerakkan karate dan judo.mereka punya 'tari' tersendiri yang tidak kurang juga peluh terhasil apabila dilakukan. Hari ini orang Eropah berbangga membuka tari silat walaupun itu adalah 'gaya kita'....orang kita??

Wednesday, June 2, 2010

Tabib kepada diri sendiri....

Nak cerita lagi.....suatu petang  sabtu kaki melangkah ke kelas Senaman Tua. Kelihatan sihat aku hari itu.  Aku memakir motosikal dikaki lima tingkat bawah pejabat Seni Beladiri sebaik sahaja sampai. Setapak demi setapak kaki melangkah ke tingkat satu untuk ke Gelanggang Tok Merpati (nama gelanggang ST di Setapak)...semasa menapak itulah urat pinggang dan belikat bagai ditarik-tarik.  Puncanya di rumah.
Pagi tadi semasa mengangkat tong sampah besar di dapur, aku terlanggar petua. Selepas satu bunyi 'aduh' dimulut kerana 'salahnya' dipinggang dan belakang,baru aku sedar kesilapan dari segi cara dan petua mengangkat beban. Perit sekali !!

tak kira orang muda atau tua,jika sudah begini tuhan saja tahu sakitnya.

Wanita Melayu dahulu kala punya petua mengangkat beban berat supaya tiada bahagian badan yang cedera, sebagai contoh semasa mereka mengangkat bebanan bakul kain yang basah yang baru sahaja dibasuh disungai. Cara mengangkat dari tanah,meletakkan diatas kepala, cara mengelek bakul samada kiri atau kanan pinggang, cara berjalan membawa beban berat itu...semuanya petua, agar badan tidak cedera.
Bila naik tangga pun control agar tak nampak macam orang tua,terfikir sedapnya kalau ada orang boleh urut betulkan balik urat yang berselirat ni.
cara mengangkat bebanan yang betul sebegini telahpun
diamalkan oleh nenek moyang kita dahulu-kala

Pendek cerita bila diberitahu pada Guru Azlan, dibawa aku ke gelanggang. Ingat nak diurut, tapi disuruh buat Senaman Tua! aduh,macam mana nak melangkah kalau berdiripun tak boleh tegap pinggang? Masih aku ingat, Guru Azlan cuma menyuruh aku melakukan 3 jenis  senaman sahaja. Kesemua aku tahu setelah diberi cara & petua tetapi 1 sahaja aku lupa namanya. 3 senaman Tua ini adalah pilihan beliau daripada pelbagai jenis ST untuk merawat kecederaan itu.

Waktu itu, pengamal Senaman Tua lain belum sampai lagi...lalu aku meniarap melakukan senaman yang pertama iaitu Geliat  Harimau + pecahan tumpuan dipinggang + nafas Melayu (wajib)...satu set alhamdulillah aku merasai kelegaan sedikit sebanyak dipinggang.
Senaman kedua ini (yang aku lupa namanya) juga tumpuan dipinggang. Dengan bangkit dari meniarap,aku bertongkat dengan tumit lalu mula melakukan beberapa kali dengan Nafas Melayu.
Senaman ketiga ialah geliat ke langit (ingat-ingat lupa jg namanya) dengan tolakan tapak 7 dan tangan lurus keatas berganti-ganti 'jantan-betina' dengan Nafas Melayu.

Antara gerakan Senaman Tua yang memberi 'sedap' kepada pinggang

Syukur kepada Allah sebelum selesai senaman yang ketiga, tanpa aku sedari aku sudahpun berdiri tegak tanpa rasa perit di pinggang tidak sebagaimana 10 minit sebelum itu. Tertanya-tanya, kemana hilang sakit tadi?? soalan tak patut tanya pada diri, tapi keluar sendiri dibenak fikiran kerana mudahnya penawar, setelah menanggung sakit dari pagi!

Kesimpulan, belajarlah Senaman Tua sampai boleh jadi tabib pada diri sendiri dan lebih baik dari itu kepada orang lain...amalkan sampai boleh beri campuran itu dan ini, senaman itu dan senaman ini.... sebagaimana pengamal perubatan Melayu yang mencampurkan pelbagai akar kayu untuk satu-satu jenis penyakit.
Aku percaya, setiap pengamal Senaman Tua mempunyai cara yang berbeza merawat diri dengan ST kerana rawatannya tidak seperti ubat yang mana jika tersalah campur, merana badan. Semua jenis senaman dalam ST boleh dicuba untuk mendapatkan rasa untuk mengalahkan rasa.

Petik Bunga : 'ubat' salah bantal masa tidur

Tapi kalau cedera begini, ada tukang urut urat profesional,terus jumpa diapun ok juga...cuma kena sedia RM nya :D

#bergurulah untuk dapatkan petua dan gerakan yang tepat.

Wednesday, May 26, 2010

cita-citaku...bilakah?

Melihat sambutan yang cukup hangat suatu pagi di dataran merdeka menimbulkan suatu impian dalam hati. Program senam 1 Malaysia. Aku terfikir dan membuat kesimpulan bahawa jika ada duit dan ada pengaruh, segala yang dicitakan oleh selera dada maka akan tercapai. Samada kesimpulanku itu melulu atau meluru keluar dari benakku benar atau tidak, tetapi itulah realiti yang sepasang mataku melihat...

Warga kota metropolitan keluar beramai-ramai dengan t-shirt sponsor dari kementerian, pakcik makcik, adik,abang,kakak,tua,muda....semua bersenam dengan senaman jenama baru negara. Dengan kehadiran wartawan yang dialu-alukan dan dengan lensa kamera mereka yang tidak putus-putus membuat liputan mempopularkan senaman yang baru 'lahir' itu.
Fikiranku membayangkan alangkah indahnya jika semua warga ini turut menaikkan warisan budaya Melayu ini (Senaman Tua) sebagaimana mereka lakukan hari ini. Terutama 'orang-orang tua yang bersenam dibaris hadapan' sekali itu, kerana dengan selera mereka lah senaman jenama baru ini 'nampak' berjaya.

Pelbagai usaha oleh insan kerdil seperti Azlan Ghanie dan pembantunya 'menayangkan' kepada 'orang-orang tua diatas' akan betapa berharganya Senaman Tua sebagai satu komponen peradaban Melayu. Tetapi Senaman Tua tidak bernasib baik seperti yang diimport kerana ia dipandang murah oleh bangsa sendiri. Atau mungkin ia bersifat tempatan.

Masih aku terbayang diruang mata dan kedengaran ditelinga kisah aku mengikuti Pengasas Senaman Tua (Guru Azlan) memberi penerangan, itupun diatas undangan beberapa peminat agar hadirin 'membuka mata' kepada ilmu ini.
Apabila disebut Tua dihujung senaman, kedengaran suara hadirin sprti "dah tua sangat ke kita ni?" "sape yang tua duduk sini,kami nak balik" "siapa ikut, confirm mengaku tua" "apa?senaman tua? hahahaha" jelas sekali kedengaran di telinga aku kerana aku berada dikalangan hadirin bersama beberapa rakan sementara Azlan Ghanie dipentas menyampaikan penerangan. Kalau ikutkan hati nak saja libas dengan rotan selengan yang kami bawa...Kenapa hati aku panas waktu itu?? ini kerana bezanya kami menilai harga ilmu ini manakala mereka tidak mahu ambil tahu.



Aku sudah lihat Tai Chi, Aerobik, Senaman 1Malaysia, Senam Seni Malaysia dibuat beramai-ramai ditempat awam kerana  semua itu telah mendapat tempat dihati penduduk Malaysia. Mahu juga aku melihat anak-anak Melayu setiap hujung minggu mungkin berpakaian serba hitam bersenam bersama pemimpin Melayu di Dataran Merdeka atau Dataran Putra di Putrajaya. Jika pelancong asing bertanya apakah yang mereka lakukan? nescaya akulah orang yang akan penuh bangga mengatakan "itulah senaman warisan Melayu kami zaman-berzaman,itulah Senaman Tua"...

 Apakah suatu hari nanti kita juga boleh bersenam sambil  menghayunkan pedang Melayu atau senjata Melayu  ditempat terbuka begini??

Ringkasnya apa yang tersimpan dalam hati aku ialah suatu hari nanti jika orang menyebut nama Senaman Tua maka akan ada orang  menyahut "ooo Senaman Tua" dan bukannya "Senaman Tua? apa tu?"...
ataupun jika ada pergerakannya dilihat samada di TV atau ditempat awam, maka yang melihatnya tidak akan mengatakan itu sesi Tai Chi atau Aerobik atau lain-lain...tapi mereka kenal dan berkata "itulah Senaman Tua"....
Tapi bilakah waktu itu??
hanya Dia Yang Maha Mengetahui.........

Friday, May 21, 2010

Hanya pengalaman yang bercerita....

Menatap 2 biji pil ditangan dengan berkata-kata di lubuk hati "bilakah akan berakhir?"...jawapan yang dijawab oleh hati "Insyaallah, jika izinNya akan tiba nanti"...
pil-pil itu bagai 'perisai harian' bagi paru-paru saya suatu masa dahulu kerana diuji oleh Allah sejak berumur 12 tahun lagi mengalami penyakit asma atau lelah. Hujan, cuaca sejuk dan makanan bersifat sejuk adalah perkara yang ditakuti sepanjang itu. Tambahan lagi  ada hidung yang kerap 'cair' tanpa sebab. Alhamdulillah semua itu berakhir semasa berumur 22 tahun.

Detiknya bermula apabila bertemu dengan pengasas Senaman Tua, Guru Azlan Ghanie untuk mempelajari ilmu senaman Melayu ini. Waktu itu ST mungkin tidak semasyhur hari ini. Tidak sampai 5 orang belajar dikelas waktu itu. Mula-mula jumpa Azlan, antara kata-kata yg masih ingat "awak ni orang muda tapi jalan macam orang tua" maksudnya saya mengerti sangat kerana saya sedar bila berjalan badan agak bongkok. Tak tau puncanya.
Bermula diajar petua Nafas Melayu,  kelas bertempat di Gym Why Fit, Bandar Baru Damansara itu menjadi titik tolak saya menyelami dunia Senaman Melayu ini.

Memang pengalaman yang tidak dilupakan sepanjang hayat apabila sebulan menjalani kelas ST, pada suatu pagi bangun dari tidur...saya dapati urat-urat seluruh tubuh bagai di gam, tegang pun ada sampai solat terpaksa duduk. Seminggu lebih berkeadaan begitu nak start motorpun tak mampu. Demam urat.
Bermula pagi itulah saya terlupa bahawa tidak ingat nak menelan pil-pil harian kerana fokus kepada sakit urat yang dialami....walaubagaimanapun, diri tetap takut dengan 'benda-benda sejuk' tersebut.

Demam urat yang saya alami ini bukan kerana silap ST/guru tetapi silap sendiri. Waktu itu, guru Azlan melakukan ST agak ekstreme seperti kiraan 100 pada satu-satu gerakan.Walaupun saya dipesan supaya buat mengikut kemampuan diri dan jangan ikut orang lama...biasalah, darah muda nak mencuba jugak. Hasilnya badanpun menerima kejutan.

Masih segar diingatan, bulan ketiga 'meminggirkan' ubat harian...saya ke kelas ST 2 kali seminggu seperti biasa pada jam 8 malam. Langit nampak mendung semacam nak hujan,tetapi di'desak' semangat untuk ke kelas lebih kuat daripada takut hujan, namun tetap membawa bekal baju hujan dalam kotak motor. Selesai kelas lebih kurang pukul 11:30 malam,hujan turun lebat sekali.

" Kalau nak tunggu hujan stop, lambat lagi ni...pakai je baju hujan tu,baca doa dan ambil Nafas Melayu sepanjang jalan"
Kata-kata guru Azlan ini menjadikan saya  tekad meredah hujan lebat dengan angin malam yang sejuk walaupun dalam kotak fikiran berlegar perkara lama, esok takkan ke bilik kuliah, makan ubat, tidur sepanjang hari dan berselimut tebal.Pernah beberapa kali kena situasi ini (tak dpt elak),sampai rumah badan terus 'kecut' dan menggigil.
Namun dengan izin Allah, syukur sebanyak-banyaknya....sampai dirumah badan saya basah dengan peluh dan kepanasan kerana sepanjang jalan walau hujan tidak berhenti saya juga tidak berhenti dengan Nafas Melayu. Alhamdulillah keesokannya saya bangun dengan ceria ke bilik kuliah tidak seperti sebelum-sebelum ini.

Hanya itu yang direkodkan secara jelas dalam minda saya. Resdung yang dialami sekian lama, tidak dapat dipastikan mengambil masa berapa lama untuk sembuh dengan mengamalkan ST. Tau-tau saja bila makan makanan laut, tiada alahan...dan fenomena mingguan 'hidung cair' tidak lagi berlaku dengan serius dan kerap.


Bagi saya ia bukan soal Senaman Tua atau apa jenis senaman/ubat, tetapi saya berpendapat kesembuhan itu datang dari izin Allah dengan asbab keserasian penawar dengan penyakit dan istiqamah berusaha.

Banyak lagi perubahan diri yang dialami oleh diri saya sendiri samada dahulu ataupun terkini,namun ini sahaja yang boleh dikongsikan...ada masa kita sambung pengalaman ditanya oleh doktor berkali-kali samada merokok atau tidak apabila melihat filem x-ray dada semasa membuat pemeriksaan perubatan untuk perlantikan jawatan.

wallahu a'lam...

Friday, May 14, 2010

Nafas Melayu......Semangat yang Bangkit

Pertama kali belajar pertama kali dengar nama Nafas Melayu mempunyai makna yang cukup dalam....bagi penulis, Nafas Melayu merupakan tunjang semua pergerakan Senaman Tua. Cara tarikan nafas yang diilhamkan melalui pengamatan orang dulu-dulu sebagai satu bentuk senaman yang istimewa. Banyak kebaikan yang diperolehi. Hanya yang merasai sendiri dapat menceritakan 'manisnya'.
Kaedah sedutan & hembusan nafas memang ada pada semua jenis senaman yang kita tahu seperti Tai Chi, Qi Gong, Yoga, Aerobik dsbgnya. Masing-masing punyai kelebihan tersendiri.Maka tidak terkecuali ST dengan caranya.
Umum mengetahui manusia bernafas, tetapi bernafas tidak sama kebaikannya dari 'mengambil' nafas. Mengambil nafas ialah keadaan kita menyedut udara banyak-banyak lalu menghembuskannya (samada perlahan atau laju).


Nafas Melayu mempunyai beberapa teknik dan pecahan yang membawa kebaikan kepada kesihatan. Penulis percaya (drpd pembacaan) dengan mengambil nafas secara konsisten setiap hari boleh merawat banyak penyakit seperti asma, darah tinggi dan stress. Senaman Tua mengajar pengamalnya bersenam agar badan menjadi tegap dan petuanya terletak pada Nafas Melayu.
Tidak dapat diberitahu disini bagaimana cara mengambil Nafas Melayu dibimbangi tersalah kaedah akan mendatangkan mudarat pada badan.


 adalah dipercayai sejarah/asal-usul petua pernafasan cara Melayu ini (Nafas Melayu) lahir daripada ketakutan yang semulajadi terbit dalam diri manusia.

Pengasas Senaman Tua, Guru Azlan Ghanie diajarkan petua pernafasan cara Melayu ini dari ayahandanya Allahyarham Abdul Ghanie Abu Bakar yang berketurunan Merpati Jepang ( keturunan Raja Melayu Sarawak). Guru Azlan semasa zaman kecilnya sering sakit dan lemah badan kerana lahir tidak cukup bulan, namun beliau 'bangkit' dengan petua ini lalu mencuba apa sahaja orang yang sihat lakukan...hasilnya tiada yang mustahil.Itulah 'semangat yang bangkit' dinamakan Nafas Melayu.

 Senaman Tua tanpa Nafas Melayu yang tepat, umpama makan nasi dengan cara ambil bau sahaja :D

Hasil dari Senaman yang bersulamkan Nafas Melayu, Senaman Tua menerima banyak maklumbalas positif terutama bagi pengamal yang mempunyai masalah pernafasan sprt asma (lelah) dan resdung. Bergurulah untuk dapat rasanya!

Saturday, May 1, 2010

Mulanya dari kaki.....


Senaman Tua seperti senaman tradisi lain seperti yoga,tai chi dsbg mempunyai tradisi disiplin sendiri dalam setiap gerakannya. Disiplin bagi senaman tua ialah petua. Pernah seorang guru tua berkata "peganglah kamu kepada petua, kerana untuk hidupnya satu petua, ia telah melalui beberapa keturunan"...maksudnya ialah petua bukan terhasil dalam setahun dua kerana ia adalah pengalaman sakit dan senang orang tua lalu kesimpulannya dipetuakan.


Senaman Tua menyampaikan tradisi adab dan adatnya iaitu hendaklah memulakan senaman bermula dari kaki.

maksudnya panaskan anggota dibahagian kaki dan seterusnya ke atas dan keatas. Adab ini bukan sahaja dimestikan dalam senaman bahkan semasa mandi. Orang tua-tua memberi peringatan jika mandi siram dahulu tapak kaki seterusnya keatas dan keatas. 

Allah Maha Tahu tentang ciptaaNya. penulis pernah melihat datuk selalu melibas betis dengan kain basahan yang telah diperah selepas mandi. Bila ditanya kenapa atuk buat begitu, jawapannya jangan bagi kaki jadi malas. Termenung sekejap budak berumur belasan tahun mendengar alasan orang tua itu. Mungkin itu alasan untuk budak-budak. Tapi bila kita sendiri buat, ia ada 'rasa'...libasan dengan kain pada betis itu mungkin untuk memberi 'sedar berterusan' kepada saraf disitu kerana 'sejuk' kena air selepas mandi....

Tidak dapat penulis huraikan dari segi sains anatomi tubuh manusia tentang petua orang tua-tua ini kerana penulis bukan dibidang itu. Namun mereka (orang tua-tua) berkeyakinan bahawa ia berkait rapat dengan kesihatan saraf kita.

Pernah juga penulis terbaca satu artikel kesihatan yg mana kebanyakan anatomist menyatakan bahawa betis merupakan jantung kedua bagi manusia. Otot soleus yang ada pada betis berkait rapat dengan saraf ke jantung.Mengikut kajian,bagi orang yang bermasalah pada otot betis ini juga terdedah kepada stress dan apabila diminta melakukan senaman berkaitan betis dan kaki, stress dapat dikurangkan dengan cepat.



Senaman Tapak Sembilan dan Jengket adalah diantara senaman dalam ST yang memberi 'panas' pada anggota kaki dan betis.Amalkan!

Wednesday, April 28, 2010

Ambil ilham alam...

Senaman Tua juga merupakan suatu gerak yang tidak terkecuali mengambil gerak alam sebagai manfaat kepada manusia.
Terus penulis bawakan contoh ialah Senaman Geliat Rimau/Kucing...sudah namanya bersandarkan haiwan itu maka pasti geraknya ditiru dari kelakuan haiwan tersebut.
Tengok saja kucing yang tidur (hmmm mmg cute)...bila dia bangun tidur, tak mcm kita terus ke bilik air...

kucing akan menguap(tak tutup mulut,takpe la dia kucing) dan terus menggeliat...perhatikan cara dia menggeliat bagaikan menyusun kembali urat-urat dan tulang-tulang yang lemah semasa tidur menjadi cergas kembali. Lepas dia menggeliat secukupnya baru dia ke'bilik air'(jilat kaki tangan muka).

perhatikan gambar-gambar contoh ni :


-tu dia dengan ekor ekor skali naik!



-memang sedap rasanya buat gini pada bahu,tengkuk dan belakang badan.Hilang stress.Tapi jgan buat atas pagar rumah mcm model ni :D



- senaman masih lagi baring-baring malas



- bapak harimau pun senaman!!


bukan meniru cara haiwan, maka kita ni nak jadi haiwan...kita ambil pedoman dari alam yang Allah manfaatkannya untuk kita. Jika ada beladiri silat atau bukan silat mengambil contoh beberapa jenis haiwan, maka Senaman Tua juga tidak menafikannya.

walaupun meniru geraknya dari kucing/harimau, orang tua-tua Melayu tetap berpegang kepada kawalan nafas dan petua. Ada yang kucing boleh buat tapi mungkin tidak bagus untuk fizikal manusia maka tinggalkan.Ambil yang mendatangkan 'rasa sedap' pada badan.




- ni bukan senaman, tapi gaya akrobatik membersih bulu :D

Jadi, kalau haiwan yang tiada akal pun diberi naluri untuk bersenam...takkan manusia yang sebaik-baik kejadian ini menolak atau malas melakukan senaman? Jangan tunggu laporan kesihatan positif beberapa penyakit kronik baru kita nak bersenam.

Mengajarlah, nescaya kamu diajar...


"Memberilah...nescaya kamu akan diberi(rezeki)...
Mengajarlah...nescaya kamu akan diajar..."

Khas untuk yang diberi amanah mengajar Senaman Tua....
kata-kata diatas, penulis sematkan dalam hati.Kata-kata seorang ulama sewaktu remaja.
Penulis nak kaitkan dengan ilmu yang diperolehi. Kata seorang guru "jangan tunggu ilmu sampai penghujung baru hendak memberi(mengajar) kerana ilmu sampai bila-bilapun tiada penghujung atau kita yg dahulu bertemu hujungnya(mati)"

Senaman Tua, tiada penghujung atau penamatnya...ia akan selalu bercambah pucuk dan ranting yang baru dikala kita mengajarkannya kepada orang. Jika kita ada 10 kaedah sesuatu ilmu, jika ingin ilmu itu 'beranak pinak' sampaikanlah pada orang dengan setulus ikhlas.

Pengalaman ini dirasai penulis apabila mula-mula mengajar ST. Kita mulakan dengan al-Fatihah dan doa sebagai pembuka gelanggang dan terus satu demi satu menyampaikan gerak sebagaimana yang diajar guru ( guru Azlan).
Walaupun ilmu baru setahun jagung, tetapi hasil drpd 'memberi' itu...penulis dapat pecahkan senaman dengan pecahan yang baru dan ada rasanya. Semuanya didapati semasa kelas dalam gelanggang(dgn berpegang kepada petua asal).

kesimpulannya ;
Saidina Ali r.a pernah berkata "harta jika dikeluarkan, ia akan habis tetapi ilmu jika dikeluarkan (ajar) ia akan bertambah-tambah"

Tuesday, April 20, 2010

Tuesday, August 25, 2009

Bukan Satu-Satunya Tetapi Salah Satu....

Senaman Tua bukanlah satu-satunya Senaman di alam Melayu ini. Mungkin banyak lagi jenis senaman yang diilhamkan oleh orang tua-tua Melayu yang tidak terkutip oleh kita. Mungkin juga ada yang sudah pupus dek perginya pengamal tanpa ada pewarisnya.

Semasa penulis kecil, pernah melihat orang tua-tua dikampung dengan gerakan hariannya yang diwarisi dari nenek moyangnya dimana gerakan itu dilihat 'istimewa' sebagai kecergasan tubuh. Mungkin ditempat anda juga ada orang tua-tua yang mewariskan ilmu kecergasan kepada anak-anak muda mereka.


diatas keyakinan kita bahawa ilmu Allah Ta'ala itu Maha Luas dan Dia adalah Maha Berkuasa maka yang pasti kita ini serba kekurangan...maka selalu kita ingat bahawa Senaman Tua bukanlah satu-satunya.

Ilmu Allah, maka Dia berhak menurunkan kepada sesiapa sahaja ilmuNya...oleh itu kita tidak boleh menidakkan senaman-senaman lain sprt Tai Chi,Pilates,Aerobik dan banyak lagi kerana masing-masing diberi kelebihan tersendiri.

ST juga bukan satu-satunya kaedah penyembuhan penyakit dimana prinsipnya berlainan dari prinsip perubatan moden tetapi ia adalah salah satu daripadanya. Jadi, dimana ada penawar carilah tanpa putus harapan dan tawakkal kepada Allah.

Firman Allah (maksudnya): Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah al-Hujurat: 13).

Tuesday, August 4, 2009

ST tidak membesarkan otot


Secara teori sainsnya Senaman Tua ini dilakukan dengan prinsip ‘static concentration’ dengan menggunakan berat badan sendiri (kalistenik). Pergerakan senaman ini bermula dengan senaman pada tapak kaki dan seterusnya keatas. Pengamal senaman ini akan bertahan dengan bebanan berat badan sendiri tanpa menggunakan sebarang alat seperti di gimnasium
petikan kata-kata pensyarah sains sukan UPM Dr.Tengku Fadzilah (dalam buku ST):
-gambar hiasan-
Majority pergerakan harian kita tertumpu kepda otot utama seperti quadriceps, biceps, deltoid dan trapezius. Regangan isometric yg berlaku semasa ST sebenarnya berfokuskan otot kecil yang memberi sokongan kepada otot utama ini.
Jadi wanita tidak perlu risau otot berketul-ketul kerana ST sama seperti senaman lain iaitu tidak berfungsi untuk membesarkan otot tetapi memberi daya tahan dan kekuatan kepada otot dan sendi.

Monday, August 3, 2009

Senaman Tua Menjadi Tanda Tanya...


Setakat ini belum ada kajian menyeluruh tentang gerakan ST dari sudut ilmu sains sukan atau sebagainya...tetapi ia tetap diamalkan dan menjadi tanda tanya bagi orang yang sudah merasai kesannya. Sebagai contoh, sudah ramai pengamal ST yang menghidapi penyakit asma (lelah) yang mengamalkan ST dalam beberapa sesi telah pulih dari penyakit tersebut. Ada yang merasai pemulihan dari asma pada sesi pertama ST. Ada yang seminggu. Ada yang mencapai 2-3 bulan bergantung kepada badan seseorang untuk pulih.

Penulis sendiri penghidap asma sejak berumur 12 tahun dan mengamalkan ST 10
tahun kemudiannya selama 3 bulan, alhamdulillah sembuh sepenuhnya.
Penulis juga menghidap resdung (Sinusitis) yang agak kronik semasa berumur 15
tahun. Semasa menuntut di IPT,masalah ini masih belum selesai disamping asma.
Hidung berair,bersin,mata merah berair lagi gatal sehingga telinga rasa
berdengung menyebabkan banyak hari tidak selesa.Ia pulih selepas 5 bulan sesi
ST yang berterusan.

Semasa sesi seminar ST (selama 3 hari) di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Tahun 2003, seorang pengamal berumur 45 tahun dari Pahang datang menyertai.Dia merupakan penghidap asma semasa berumur 4 tahun. Sepanjang hari pertama seminar ST, tanpa disedari dia tidak menyedut alat sedutan (inhaler) sampai ke malam hari dimana kelaziman baginya setiap hari 2-3 kali sedutan terpaksa lakukan.

Kami (pengajar ST) juga tidak terfikir seorang pesakit leukimia boleh kembali normal apabila menjalani sesi Senaman Tua yang berterusan. Namun ini pernah dibuktikan.


Bagaimana pula pengasas ST sendiri Guru Azlan Ghanie (Penerbit Majalah Senibeladiri) sendiri yang pulih dari stroke dengan amalan ST yang bersifat extreme...

Ia tetap menjadi tanda tanya...tidak dapat dihuraikan oleh guru dan pemegang amanah (jurulatih) bagaimana pengamal boleh sembuh. Tidak dapat diterangkan gerakan yang mana satu didalam 1001 gerakan ST yang menyembuhkan penyakit-penyakit tertentu. Apa yang boleh dikatakan, kita cuma berikhtiar dan mencuba tanpa putus asa (istiqamah),jika serasi ubat dan dengan izin Allah,maka sembuhlah ia.

Telah banyak testimonial ST yang diperolehi dari pengamal-pengamalnya baik di Malaysia atau luar negara (kelas ST di luar negara).Akan menyusul artikel testimonial pengamal yang merasai pemulihan diri dari amalan senaman Tua.

Apabila Panas bertemu dingin...


Baru-baru ini saya terbaca disebuah akhbar satu artikel tentang rawatan refleksologi dan urutan badan. Wartawan artikel tersebut menemuramah pengamal rawatan tersebut ada Melayu dan ada juga Cina. Saya rasa perlu perkara ini diketengahkan disini agar jadi panduan bersama dimana saya merujuk fokus artikel tersebut tentang 'angin' dalam badan.

Bila kita sebut 'angin' dalam badan, bukan merujuk kepada perut masuk angin sebab lambat makan atau angin yg satu jenis lg yang keluar melalui 'ekzos' kita tu. Ini merujuk kepada angin yang memenuhi urat kita yang kesannya kita rasai otot dan urat lenguh-lenguh, sengal sendi dan seumpamanya...ada orang tua-tua cakap ayatnya "badan saya berangin la"...

Saya fokus kepada antara penyebab angin masuk ke dalam badan kita ialah kaki selalu terdedah kepada lantai dirumah yang bersimen/mozek yang sejuk. Kenapa jadi begitu? menurut artikel itu, kaki kita mempunyai ribuan sel darah dan saraf yang menyambungkan kepada seluruh sistem badan. Pertemuan antara kaki kita yang 'panas' dengan 'dingin' lantai menyebabkan badan kita berangin.

Terus saya nak kaitkan dengan senaman atau silat. Bagi yang mengamalkan Senaman Tua atau bersilat di atas lantai bersimen atau mozek dimana tapak kaki terdedah terus kepada permukaan lantai yang begitu...adalah disarankan memakai stokin. Bila kita bersenam atau bersilat pasti tapak kaki kita akan 'panas' kerana aliran darah ke saraf-sarafnya, maka jika terdedah terus kepada kesejukan lantai pasti tidak menyihatkan. stokin tersebut menjadi alas/pendinding kaki kita dengan lantai yang sejuk. Jika gelanggang sudah berpermaidani, tidak menjadi masalah lagi.

Pernah juga saya merasai urutan refleksologi di kaki suatu ketika dulu.Selepas rawatan lebih kurang 40 minit, pengamal urut kaki tersebut memberi pesan supaya jangan balik mandi dalam masa 2 jam sebab kaki masih panas. Nanti masuk angin katanya. Jika terpaksa berwuduk, segera lap kaki selepas selesainya.
Petua begini sudah lama dalam adat Melayu kita. Kalau nak tau kesannya sama juga jika kita badan tengah panas (joging/senam) terus kita minum air yg berais..tidaklah pengsan atau pitam. Tetapi kita bercakap tentang 'angin' masuk badan.

Bila buat Senaman Tua tumpuan di kaki (cth: tapak 9 dan jengket) ramai juga yang sendawa keluar angin.

Tiada kajian saintifik setakat ini berkenaan dakwaan ini tetapi ia merupakan kepada petua dan pengalaman pengamal perubatan alternatif dan orang tua-tua...wallahua'lam

Senaman Tua dan Silat Melayu


Apabila ada orang menonton samada VCD Senaman Tua (ST) atau kelas ST...pasti akan membuat kesimpulan dalam diri bahawa ST adalah Melayu atau Silat.

Benar. ST adalah satu komponen yang dicabut dari Silat iaitu Silat Melayu Keris Lok 9 yang diasaskan oleh Guru Azlan Ghanie yang membawa dari arus keturunannya yang berkait rapat dengan istana Pahang suatu masa dahulu.

Asalnya ST merupakan senaman yang diwajibkan oleh orang istana sebelum bersilat sebagai pemanas badan lalu terlangsung resam itu di gelanggang Silat Melayu Keris Lok 9. Oleh kerana mengikut kajian dan maklumat yang diterima, orang ramai hari ini kurang berminat dengan silat..lalu dicabut senaman ini dari Silat Lok 9, dinamakan Senaman Tua dan dijadikan khusus kpd penyampaian senaman sahaja. Asalnya gerakan kecergasan ini suatu masa dahulu tiada nama khususnya dalam menjadi amalan harian.

Walaupun begitu secara tidak langsung, pengamal ST akan akhirnya dapat menjiwai Silat Melayu menerusi gerakan-gerakan ST yang diajarkan. Secara tak langsung sebenarnya ST mendekatkan Silat Melayu kepada masyarakt Melayu yang 'fobia' kepadanya.


Pengalaman kami bersama pengamal yang sinis terhadap Silat Melayu dimana pengamal ini tidak mahu berpakaian silat (hitam) sebagaimana pengajar ST apatahlagi mahu bersilat.
Tetapi lama kelamaan apabila dirinya terasa peningkatan dari segi kecergasan selepas beberapa sesi ST, dia bersemangat untuk menyarungkan uniform silat dan ingin mengetahui kaedah-kaedah silat dalam membeladiri.

ST juga menghidangkan budaya dan falsafah Melayu kepada pengamal secara langsung menerusi sejarah dan asal gerakannya..wallahua'lam

Sunday, August 2, 2009

Kenapa kakinya tidak beralas ?

Kenapa kakinya tidak beralas ?

Kaki tidak beralas mungkin merujuk kepada simpulan bahasa 'berkaki ayam'...iaitu tidak memakai sepatu atau kasut..

Jika Melayu, pasti semuanya maklum dari dahulu lagi kita dididik apabila masuk rumah pastikan sepatu dari luar tinggalnya diluar. Langkah masuk rumah kaki kanan.Walau bersih sekalipun walau baru dibeli sekalipun sepatu,jika ianya dikenali dan diketahui untuk kegunaan luar rumah maka kita tetap diajar supaya tidak memakainya melangkah dalam rumah.

Jangan import budaya orang putih yang menganggap ianya budaya biasa dan tak mengapa jika berkasut dari luar kedalam rumah. Mungkin itulah antara penyebab mengapa J.W. Birch dibunuh oleh pahlawan Perak kerana tidak menghormati adab dan resam orang Melayu.

Senaman Tua menghalusi adab ini dengan pantangnya jangan bersenam apatahlagi bersilat dalam keadaan berkasut/sepatu.Dalam gelanggang, adab Melayu diterapkan juga. Tak tahulah saya jika ada perguruan silat yang mengajarkan pesilatnya berkasut semasa berlatih silat.
Jika senaman aerobik atau pilates menggunakan kasut semasa sesi latihan, maka sudah kenalah gayanya kerana itulah budaya dan resam mereka di rumah.

Tidakkah kita rasa janggal sekali melihat jika ada orang menyarungkan keris disisi paha sebagaimana cowboy meletakkan pistolnya dikiri dan kanan paha?

* kalau anda mahu import budaya eropah dalam senaman Melayu, jangan salahkan senaman atau guru jika kaki kejang atau mudah pitam semasa melakukan senaman tua....

Friday, July 31, 2009

Pelangi kita....



" Kita selalu memuji padi di baruh (bendang) orang lain tapi kita tidak menjaga padi yang subur di halaman sendiri "

kata-kata di atas penulis petik dari kata seorang guru silat yang kuat semangatnya walaupun sudah berumur dalam mempertahankan budaya Melayu yang dimilikinya. Dalam perbualannya dengan penulis itulah kata akhir darinya sebagai satu keluhan kepada beberapa golongan dari orang Melayu hari ini dalam soal memelihara budaya bangsa yang ada.

Dalam Majalah Seni Beladiri ( keluaran OGOS 2009 ) penulis memetik kata seorang guru tua (Hj Ramli Mohammad Zin atau Pak Teh Ramli) yang menyebut " kita sering nampak pelangi di atas kepala orang sedangkan pelangi yang sama berada di atas kepala kita ".

Maksud kedua-dua guru tua ini adalah sama iaitu teguran kepada sikap bangsa Melayu yang suka menjulang atau bangga dengan 'barang import' sehingga lupa khazanah tempatan. Kalau dahulu pembesar-pembesar Melayu merupakan pelopor dan penegak kepada khazanah adab dan budaya Melayu yang ada. Mereka juga sebagai benteng pertahanan dan penyuburnya. Tetapi hari ini pembesar Melayu tiada semangat seperti itu. Jika ada sekalipun hanya 'tanya selera sendiri'....

Senaman Tua yang di persembahkan kepada masyarakat ini adalah salah satu komponen peradaban Melayu yang patut dipertahankan dan disuburkan. Bangsa kita telah lama di'suap' dengan kehebatan senaman seperti yoga, Tai Chi, Aerobik, Pilates dan banyak lagi yang diimport oleh masuk ke Malaysia lalu disuburkan diminda umat Melayu oleh media massa dan orang tertentu.

Pengasas Taekwon Do General Choi Hong dianggap wira oleh rakyat korea kerana berjaya membawa seni beladiri Korea ke seluruh dunia. Orang Korea berbangga mempelajari Tae Kwon Do berbanding yang lain.
Orang Jepun lebih berbangga belajar karate, samurai, Aikido dan Jujutsu berbanding lain. Orang kita?? orang kita bangga jika dapat belajar yang import. Pasti yang import lebih mahal dari tempatan..lihat saja KFC kita sanggup bayar RM15 untuk sepinggan hindangan 2 ketul ayam,sebuku roti,sayur dan air segelas. Kalau nasi lemak dengan harga itu dan lauk yang sama...pasti heboh dikutuk.
Senaman Tua/Silat dengan yuran RM50 sebulan 2 kali seminggu sudah dianggap melampau mahal kerana 'tempatannya'...jelaslah bahawa umat Melayu tidak menghargai atau tidak 'nampak' apa perlunya menghargai.

Jika dilihat suasana hari ini...nampaknya 'orang lain' yang disebut guru tua itu mula melihat dan ingin merasai 'padi dihalaman kita'...hari ini ramai orang Eropah datang untuk mengetahui dan mempelajari Senaman Tua. Ada yang sanggup bercuti sebulan datang ke MAlaysia utk mendapatkan sendiri ilmu Melayu ini dari tangan Melayu sendiri. Wang bukan lagi persoalan lg buat mereka kerana mereka nampak apa yang kebanyakan bangsa kita sendiri tidak nampak.

Betul atau tidak kata guru-guru tua itu...renung-renungkannya.